KUALA LUMPUR 4 Julai — Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini berjaya mengetepikan saman fitnah oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menuduhnya seorang homoseksual dalam persidangan yang dianjurkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), selepas Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri itu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Tengku Maimon Tuan Mat dalam keputusannya berkata, saman Anwar terhadap Dr. Mahathir itu tidak dapat diterima.
Pada 5 Januari lepas, Dr. Mahathir memohon untuk mengetepikan saman fitnah Anwar dengan mendakwa ia bersifat skandal, remeh atau menyusahkan.
Pada 26 Januari, 2006, Anwar memfailkan saman fitnah itu terhadap Dr. Mahathir dengan mendakwa kata-kata Dr. Mahathir itu bersifat fitnah.
Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar berkata, Dr. Mahathir menyedari sepenuhnya bahawa sebahagian besar daripada kata-kata itu bertujuan memalukan beliau dalam kedudukan peribadi dan rasminya sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Kewangan dan ia akan disiarkan dalam media tempatan serta asing.
Selain ganti rugi am dan teladan, Anwar turut memohon perintah bagi menghalang Dr. Mahathir atau ejennya daripada menuturkan atau menerbitkan kata-kata seperti itu di masa depan.
Dr. Mahathir, dalam pernyataan pembelaannya, berkata, beliau bergantung kepada hak keistimewaan sebagai bekas Perdana Menteri ketika membuat kenyataan itu.
Katanya, beliau mengucapkan kata-kata itu pada persidangan yang dianjurkan oleh Suhakam di mana hak keistimeaan itu terpakai seperti yang dinyatakan dalam Akta Fitnah 1957.
Dr. Mahathir juga berkata pada 9 September, 2005 kata-kata itu dibuat atas kepentingan awam dan menjadi tanggungjawab moral beliau untuk memaklumkan mengenai salah laku Anwar. - Bernama
Wednesday, July 4, 2007
Dr. Mahathir berjaya ketepikan saman Anwar
Posted by Salasilahjusohmuhammad@blogspot.com at 11:44 AM