Saturday, June 30, 2007

Tasik tadahan air jadi ‘tong sampah’


Untuk kes ini dan seumpamanya.Dengan tersiarnya berita ini....satu kesimpulan mudah dapat disimpulkan ialah betapa lemahnya sistem pengurusan dinegara kita bemula dari peringkat bawah sampailah keperingkat pimpinan negara.
Apa yang anda buat di pejabat hari-hari?Ke mana perginya unit rondaan PBT anda?Ke mana dan buat apakah unit penguatkuasa PBT anda?Bagaimana anda pastikan anak buah dibawah jagaan anda menjalankan tugas dengan sempurna?
Budak sekolah tingkatan tiga pun boleh ulas dengan baik kes ini?DAN...anda yang telah memasuki alam pekerjaan dan dibayar gaji dengan duit rakyat...TAPI akhirnya menyusahkan rakyat kembali.....tak malukah anda?
Jadi,kepada pihak yang terlibat(Syarikat,PBT,kerajaan negeri)..berikan tugas yang maksium kepada rakyat.Gaji anda dibayar oleh rakyat.Keja anda direkod oleh malaikat kiri dan kanan anda.
By..Wassalam.

BATU PAHAT 29 Jun – Tidak bertanggungjawab! Tasik dijadikan tong sampah.Kawasan tadahan air yang sepatutnya dijagai dengan baik untuk air larian di waktu hujan - bagi mengelakkan banjir - dimusnahkan sewenang-wenangnya.
Lebih mengejutkan, syarikat didakwa melakukan perbuatan itu hanya diberi amaran yang terlalu lembut.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri Johor, Datuk Halimah Mohamed Sadique mengarahkan Setara Kristal Sdn. Bhd. yang menyenggara tapak pelupusan sampah di Kampung Sri Wangi ‘agar tidak lagi membuang sampah di dalam tasik itu’.
Arahan itu dibuat setelah beliau melawat tapak tersebut semalam dan mendapati keadaannya bertambah buruk apabila tasik bekas lombong yang dijadikan tempat membuang sampah itu mengeluarkan bau yang sangat busuk.
Setara Kristal diberi tempoh sebulan untuk menambak tanah ke dalam tasik berkenaan supaya bau busuk dapat dihindarkan kerana tasik itu sudah tidak boleh dirawat lagi.
Halimah juga meminta penduduk kampung berdekatan bersabar untuk tempoh enam bulan lagi sementara menunggu tapak pelupusan sampah baru di Bukit Bindu dibuka.
Beliau juga meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mencari jalan untuk membaik pulih tasik itu termasuk menyedut air dalam tasik dan dirawat serta dibuang ke tempat yang sesuai serta membuat takungan untuk rawatan air.
Beliau juga berjanji akan terus memantau masalah yang dihadapi kira-kira 1,000 penduduk di lima kampung sekitar kawasan berkenaan dari semasa ke semasa.
Turut bersama Halimah dalam lawatan tersebut ialah Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor (UPEN), Datuk Hamsan Saringat; Pegawai Daerah Batu Pahat, Yahya Salleh; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Amran Abdul Rahman; wakil-wakil penduduk serta pihak Setara Kristal.
Sebelum ini Utusan Malaysia pernah menyiarkan rungutan penduduk lima buah kampung di sekitar tapak pelupusan sampah itu yang meminta agar tapak itu ditutup kerana tidak tahan dengan bau busuk serta jalan yang kotor terutama ketika hujan.
Penduduk mendakwa, masalah sampah yang telah berlarutan lebih kurang setahun itu kini semakin parah apabila pihak penyelenggara membuang sampah ke dalam tasik yang dipenuhi air sejak sebulan lalu.
Ismail Molar, 45, mendakwa pihak penyelenggara mula membuang sampah ke dalam tasik bekas lombong batu bata sejak awal bulan ini menyebabkan bau busuk kini merebak.
‘‘Kami memang dah tak tahan dengan bau busuk, dulu sesekali ia berbau tetapi kini ia semakin parah selepas sampah dibuang ke tasik pula tanpa rawatan,” jelasnya kepada Utusan Malaysia.
Wakil penduduk dan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Tumari Puimin, 47, terkilan kerana pihak syarikat gagal menyenggara sampah tersebut sehingga menjejaskan keselesaan penduduk.
‘‘Kami semua mengharapkan kawasan pelupusan sampah itu ditutup kerana ia semakin bertambah teruk bukan bertambah baik,” jelasnya.
Dakwanya lagi, jika dahulu sampah dibuang di tempat yang agak kering tetapi tindakan Setara Kristal membuang sampah ke dalam tasik sedalam 15 meter yang dipenuhi air amat mendukacitakan seluruh penduduk di Kampung Parit Suratman, Kampung Pinggir, Parit Senah, Kampung Seri Wangi dan Felcra Sri Wangi.

Hak Milik Hazbj | Hak Cipta Hazbj