KUALA LUMPR, 4 Julai (Hrkh) - Keputusan Mahkamah Tinggi hari ini mengketepikan saman fitnah terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed tanpa membenarkannya dibawa ke perbicaraan terbuka jelas sekali suatu ketidakadilan, kata ketua Parti KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Katanya keputusan untuk tidak membicarakan secara terbuka kes itu nyata satu ketidakadilan terhadap diri keluarga dan rakan-rakannya, kata Anwar.
Beliau berkata demikian semasa mengulas keputusan Pesuruhjaya Kehakiman Dato' Tengku Maimun Tuan Mat berhubung permohonan pembatalan saman yang dibuat oleh Mahathir terhadap Anwar dalam kes saman malu Anwar mengenai tuduhan Mahathir dalam satu progam di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).
Keputusan ini juga menggambarkan kedudukan keadilan di Malaysia, katanya.
"Di dalam mencapai keputusannya, Tengku Maimun telah memilih untuk tidak mengendahkan hujah-hujah perundangan yang telah dibentangkan peguam saya kepada mahkamah untuk memberikan sebab mengapa Dr. Mahathir mesti menjawab saman saya kerana membuat kenyataan liar dan berniat jahat terhadap peribadi saya,"katanya.
Di atas sebab itu membuatkan beliau terpaksa menyatakan keputusan ini langsung tiada nilai perundangan, kata Anwar.
"Saya telah mengarahkan para peguam saya untuk memfailkan rayuan serta-merta,"katanya.
Terdahulu Peguam bagi pihak Anwar, Sankara N.Nair berkata pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Sivil hari ini yang menerima permohonan Tun Dr Mahathir Mohamad membatalkan saman malu Anwar.
Sankara yang ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas Hakim Dato' Tengku Maimun Tuan Mat membacakan keputusan permohonan Dr Mahathir membatalkan saman malu Anwar itu berkata, pihaknya terkejut dengan keputusan hakim itu.
Bagaimanapun beliau telah dimaklumkan Anwar supaya membuat rayuan ke atas keputusan itu, katanya.
Mengulas mengenai keputusan itu beliau berkata, sepatutnya dalam kes itu boleh dibicarakan di mahkamah memandangkan pihak Anwar mempunyai bukti yang kuat untuk diperdengar dalam perbicaraan.
Terdahulu, dalam Mahkamah Tinggi Sivil Hakim dalam keputusannya berkata, permohonan Dr Mahathir bagi mengetepikan saman fitnah oleh Anwar Ibrahim kerana menuduhnya seorang homoseksual dalam persidangan yang dianjurkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) diterima mahkamah.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk mengetepikan saman Anwar itu.
Dalam keputusannya, Pesuruhjaya Kehakiman Dato' Tengku Maimon Tuan Mat berkata, saman Anwar terhadap Dr Mahathir itu tidak dapat diterima, demikian menurut laporan Bernama.
Pada 5 Januari lalu, Dr Mahathir memohon untuk mengetepikan saman fitnah Anwar dengan mendakwa ia bersifat skandal, remeh atau menyusahkan.
Pada 26 Januari 2006, Anwar memfailkan saman fitnah itu terhadap Dr Mahathir dengan mendakwa kata-kata Dr Mahathir itu bersifat fitnah.
Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar berkata Dr Mahathir menyedari sepenuhnya bahawa sebahagian besar daripada kata-kata itu bertujuan memalukan beliau dalam kedudukan peribadi dan rasminya sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri serta bekas Menteri Kewangan dan ia akan disiarkan dalam media tempatan serta asing.
Selain gantirugi am dan teladan, Anwar turut memohon perintah bagi menghalang Dr Mahathir atau ejennya daripada menuturkan atau menerbitkan kata-kata seperti itu di masa depan.
Dr Mahathir, dalam pernyataan pembelaannya, berkata beliau bergantung kepada hak keistimewaan sebagai bekas Perdana Menteri ketika membuat kenyataan itu.
Katanya, beliau mengucapkan kata-kata itu di persidangan yang dianjurkan oleh Suhakam di mana hak keistimewaan itu terpakai seperti yang dinyatakan dalam Akta Fitnah 1957.
Dr Mahathir juga berkata pada 9 September 2005 kata-kata itu dibuat atas kepentingan awam dan menjadi tanggungjawab moral beliau untuk memaklumkan mengenai salah laku Anwar.