Tuesday, August 14, 2007

tudung yang dipakai oleh isteri Abdullah menjadikannya sebagai alasan kenapa Abdullah tidak layak dilantik sebagai Presiden

ANKARA 14 Ogos – Parti pemerintah berteraskan Islam di Turki, Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) memutuskan untuk mencalonkan sekali lagi Menteri Luarnya, Abdullah Gul sebagai Presiden walaupun mendapat bantahan kuat sesetengah pihak.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan sebelum ini pernah mencalonkan Abdullah tetapi ia ditentang kerana menurut para pemimpin sekular, beliau mempunyai agenda untuk menggantikan corak pemerintahan sekular yang diamalkan selama ini.

Seorang pegawai kanan AKP, Murat Mercan mengesahkan pencalonan Abdullah selepas mesyuarat parti itu, semalam.

“Abdullah adalah seorang negarawan yang berpengalaman dan saya yakin beliau akan berjaya,” kata Murat kepada stesen televisyen CNN-Turk.

Pencalonan Abdullah sebelum ini menimbulkan krisis politik sehingga menyebabkan kerajaan mempercepatkan pilihan raya Parlimen.

Calon yang dipilih itu telah menimbulkan rasa bimbang kepada parti sekular sokongan tentera yang menuduh kerajaan berbuat demikian untuk memperkenalkan kerajaan Islam di Turki.

Parti AKP telah memenangi pilihan raya itu dengan jumlah sokongan majoriti tetapi gagal mendapat sokongan dua pertiga untuk meluluskan pelantikan calon Presiden sendiri pada undian pertama di Parlimen.

Bagaimanapun, Presiden boleh dilantik dengan mendapat majoriti mudah dalam pusingan ketiga pengundian sekiranya kuorum Parlimen mencukupi sewaktu undian berlangsung.

Sementara itu, pemimpin kanan Parti Pergerakan Nasionalis (MHP), Cihan Pacaci mengulangi pendirian bahawa partinya menyokong supaya kuorum dicapai untuk mengelak krisis politik yang baru.

“Saya tidak melihat akan berlakunya kekacauan pada masa depan,” tegasnya kepada stesen televisyen NTV.

Bagaimanapun, pemimpin parti pembangkang utama Turki, PRR, Denil Baykal pula menegaskan bahawa “bukanlah langkah bijak” untuk memilih Presiden yang mempunyai masalah dengan falsafah kerajaan Turki.

Pihak pembangkang baru-baru ini menjadikan tudung yang dipakai oleh isteri Abdullah sebagai isu kontroversi.

Menurut mereka, tudung yang dipakai oleh isteri Menteri Luar itu merupakan simbol politik Islam AKP dan menjadikannya sebagai alasan kenapa Abdullah tidak layak dilantik sebagai Presiden.

Hak Milik Hazbj | Hak Cipta Hazbj