TANJUNG PINANG (Indonesia): Hanya 750,000 rupiah (Rp) atau kira-kira RM285 satu kepala! Itulah nilai ditetapkan pedagang manusia bagi setiap pekerja Indonesia yang dijual sebelum dihantar ke luar negara termasuk Malaysia untuk dijadikan buruh dan pekerja seks.
Sebahagian daripada pekerja terbabit, terutama wanita muda awal 20-an diperdagangkan daripada satu tangan ke tangan lain sejurus mereka tiba di pelabuhan di sini, sama ada baru tiba dari kampung halaman di luar Kepulauan Riau atau Malaysia selepas ditangkap kerana bekerja secara haram.
Kegiatan penjualan manusia termasuk untuk dijadikan pekerja seks, sebenarnya bukan semakin berkurangan, malah kian membimbangkan apabila sindiket terbabit kini dikesan menggunakan pelbagai taktik dan strategi mengaburi pihak berkuasa.
“Mereka semakin licik hingga kes perdagangan manusia kini semakin kompleks dan sukar dibanteras,” kata Ketua Komisi II Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Provinsi Kepulauan Riau, Andi Anhar Chalid kepada Harian Metro di sini, semalam.
Lebih malang, katanya, kegiatan itu turut membabitkan petugas di jabatan kerajaan yang terbabit dengan urusan penghantaran tenaga kerja Indonesia secara rasmi ke luar negara, terutama Malaysia.
Menurutnya, tenaga kerja Indonesia (TKI) sering menjadi mangsa kegiatan tidak berperikemanusiaan itu akibat kedangkalan pengetahuan mereka sendiri yang tidak tahu langsung prosedur dan keperluan untuk bekerja di luar negara.
Bahkan, sebahagian daripada mereka tidak tahu menulis serta membaca dan hanya mengikut arahan anggota sindiket atau calo apabila disuruh menurunkan tandatangan pada kertas kosong yang kononnya dokumen perjanjian pekerjaan di luar negara.
Andi Anhar berkata, selain kakitangan jabatan kerajaan, kegiatan memperdagangkan manusia turut membabitkan badan bukan kerajaan (NGO) di daerah bersempadan dengan Malaysia termasuk di Pulau Bintan dan Batam.
“NGO yang ada juga tidak berapa jelas (meragukan), bahkan mereka sendiri mengambil kesempatan terhadap TKI dan TKW (tenaga kerja wanita) yang sepatutnya mereka lindungi.
“Daripada apa yang saya diberitahu, seorang TKI atau TKW dijual sekitar 750,000 rupiah dan ada antara mereka diperdagangkan sebaik tiba di pelabuhan di sini, sejurus dihantar pulang pemerintah Malaysia.
“Kejadian ini sungguh menyedihkan kerana tenaga kerja terbabit benar-benar memerlukan wang untuk menanggung keluarga di kampung halaman mereka.
“Hampir semua mangsa tenaga kerja dari luar Kepulauan Riau terutama dari Pulau Jawa, Sumatera, Irian Jaya, Nusa Tenggara Barat, Sulawesi dan Kalimantan,” katanya.
Andi Anhar berkata, setiap bulan ratusan pekerja Indonesia yang ditangkap kerana didapati memasuki Malaysia dan bekerja secara haram dihantar pulang melalui pelabuhan Tanjung Pinang.
Jumlah itu tidak termasuk pekerja yang diselamatkan daripada cengkaman pedagang manusia sebelum berangkat ke Malaysia.
Mereka ditempatkan sementara di pusat penampungan di pulau ini sebelum dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing.
Menurutnya, kehadiran TKI dan TKW serta mangsa perdagangan manusia itu menjadi masalah yang membebankan pemerintah daerah ini kerana terpaksa mengeluarkan perbelanjaan membiayai makanan ketika di pusat penampungan dan kos penghantaran pulang ke daerah asal mereka.
Wednesday, August 8, 2007
RM285 harga seorang manusia??????
Posted by Salasilahjusohmuhammad@blogspot.com at 1:56 AM