Tuesday, August 7, 2007

CCRIS ganti CTOS

PUTRAJAYA 6 Ogos – Jabatan Insolvensi Malaysia (JIM) akan dihubungkan secara terus dengan sistem komputer Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Sistem Rujukan Maklumat Kredit Berpusat (CCRIS) Bank Negara Malaysia untuk memudahkan agensi kerajaan dan institusi kewangan menyemak latar belakang orang ramai yang ingin memohon pinjaman.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M. Kayveas berkata, JIM turut bekerjasama dengan Jabatan Imigresen dan mahkamah bagi menyemak status peminjam yang diisytiharkan muflis.
Menurutnya, pihak bank dan agensi kerajaan yang ingin mendapatkan maklumat terkini peminjam hanya dikenakan bayaran RM10.
‘‘Peminjam yang diisytiharkan bebas daripada muflis juga boleh membersihkan nama mereka di JIM secara serta-merta dalam tempoh kurang sehari.
‘‘Kita tidak letakkan tempoh tertentu kepada JIM untuk mengemas kini data peribadi orang ramai tetapi usaha sedang giat dilakukan bagi tujuan itu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Kayveas berkata, langkah itu diambil bertujuan memudahkan pihak bank dan agensi kewangan melakukan semakan tanpa perlu lagi merujuk kepada Credit Tip Off Service Sdn. Bhd. (CTOS).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini memberi amaran kepada CTOS supaya tidak menjadi penghalang kepada orang ramai untuk mendapatkan pinjaman daripada institusi-institusi kewangan.
Najib dipetik sebagai berkata, CTOS tidak harus mencengkam orang ramai dengan mengemukakan maklumat tidak terkini sehingga boleh menyebabkan orang ramai disenaraihitamkan oleh institusi kewangan.
Ditanya tentang aduan yang diterima JIM mengenai CTOS setakat ini, Kayveas berkata, menerusi laman web www.insolvency.com.my, JIM sudah menerima lebih 4,000 aduan terhadap CTOS.
‘‘Kita akan jawab semua soalan yang dikemukakan tetapi ada beberapa perkara yang saya tidak boleh jawab kerana saya tidak berada dalam Kabinet seperti desakan orang ramai supaya CTOS ditutup terus,” katanya.
Terdahulu, Kayveas mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Putrajaya (PFA) bagi mematuhi arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang melarang menteri, timbalan menteri dan setiausaha Parlimen memegang jawatan dalam persatuan sukan.
Mengulas mengenai peletakan jawatannya dalam PFA, Kayveas berkata, beliau menghormati dan akur dengan arahan Perdana Menteri supaya melepaskan jawatan dalam persatuan sukan.
‘‘Saya pegang jawatan ini sejak 26 Disember 2004. Saya telah menulis surat untuk melepaskan jawatan pada 30 Julai lalu kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab,” katanya.

Hak Milik Hazbj | Hak Cipta Hazbj