Opp!Besarnya pelaburan ini...harapan RAKYAT JELATA... moga ianya telus dan berdaya maju dan bukannya hanya "penyedap halwa telinga" sahaja dan beberapa bulan atau tahun selepas itu...ianya"dikuburkan".
PUTRAJAYA 27 Ogos - Dalam usaha menembusi pasaran utama di peringkat antarabangsa, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) telah mengambil alih kepentingan ekuiti 100 peratus dalam Twin Rivers Technologies yang berpangkalan di Amerika Syarikat pada harga RM241.4 juta bagi menggunakannya sebagai satu platform untuk menembusi pasaran minyak sayur-sayuran Amerika Utara yang lumayan.
“Pengambilalihan itu akan membolehkan Felda menjadi peneraju dalam industri (minyak sayur-sayuran),” kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini, selepas menyaksikan majlis penandatanganan antara Felda dan Twin Rivers.
Pengambilalihan Twin Rivers, yang merupakan pengeluar ketiga terbesar asid lelemak dan pengeluar terbesar biodiesel di Amerika Utara, akan membolehkan Felda mempelbagai pembabitannya dari segi geografi dan pembangunan produk minyak sayur-sayuran.
Twin Rivers Technologies adalah salah satu pengeluar terbesar dan pengeluar paling pantas berkembang oleokimia di Amerika Utara.
Ia menggunakan minyak sayur-sayuran, yang termasuk minyak sawit, bagi produknya.
Najib juga menyatakan bahawa Felda, sebagai sebahagian daripada pelan pembesaran perniagaan penyajiannya, akan membuka restoran pertamanya November ini di Mekah, yang menghidangkan makanan Malaysia, melalui pelaburan awal 9.0 juta riyal (kira-kira RM8.37 juta).
Perniagaan penyajian itu dilaksanakan oleh anak syarikatnya, Felda D’Saji Sdn Bhd. - Bernama