Tuesday, August 14, 2007

Satu Analisis Yang Baik- Sepatutnya Bukan Sekarang Tapi 10 Tahun Yang Lalu Dan Praktikalnya????

Terima kasih dan tahniah kepada wartawan ini di atas tulisannya..namun sepatut dan semestinya kesedaran,keperitatinan dan tindakan telah diambil 10 tahun yang lalu.Kita..masyarakat Malaysia yang telah maju dari pelbagai sudut...sepatutnya merangka plan kerja,tindakan dan pengawalan untuk jangka panjang..bukan selepas berlaku sesuatu "malang" baru mahu bertindak. Tidak berkeupayaan kah kita???Apa yang kita tidak cukup untuk berkeupayaan itu!!! Sebagai contoh mudah...kita dihantui oleh masalah dadah,runtuhnya akidah,rendahnya moral,gejala lepak,mat rempit dan minah rempit....dan sebagainya...sepatutnya satu plan keja dan tindakan yang jelas perlu diambil bagi melahirkan "Masyarakat Malaysia bebas dari kepompong tesebut". Antara langkah dan tindakan yang patut dan mesti dilakukan ialah..semaikan dan berikan didikan dari pra-sekolah tentang bahaya,buruk dan hinanya sikap dan sifat-sifat tadi...jadi untuk 10 hingga 20 tahun akan datang kita akan mendapat hasil yang maksimum....yang menghasilkan rakyat,masyarakat dan pemimpin yang bermaruah. Begitu juga dalam soal kemalangan dijalan raya tadi...rangkakan satu plan didik,tindak dan kawalan yang berkesan untuk jangka masa panjang(unit perancang pembangunan,JKR,Polis,JPJ,Puspakom dan seumpamanya - Mereka mesti merangka kerja,bertindak dalam memikirkan jangka masa depan..lima,sepuluh dan berpuluh tahun akan datang) dan jika ini di praktikkan..kita akan lihat..10 tahun akan datang sekurang-kurangnya....Malaysia tidak lagi menjadikan"JALANRAYA SALAH SATU LOKASI UTAMA KEMATIAN RAKYAT" . Di suasa kini..masyarakat terbanyak melahirkan rasa bimbang kerana dalam banyak kes tindakan dan kawalan dilihat"sekadar tindakan dan kawalan bermusim"hanya untuk menyedapkan hati sahaja tapi praktikalnya "hampeh"...

Prihatin selepas tragedi

Oleh NORAINI ABDUL RAZAK (WARTAWAN UTUSAN)

‘ITULAH kita’. Kemalangan di Kilometer 229.1, Lebuh Raya Utara Selatan di Bukit Gantang, Taiping yang mengorbankan 20 penumpang bas ekspres memberi gambaran siapa kita sebenarnya.

Siapa kita dari sudut penguatkuasaan undang-undang, siapa kita dari sudut pelaksanaan peraturan dan siapa kita apabila memperkatakan perihal nyawanyawa yang terkorban.

Kesimpulannya kita adalah masyarakat prihatin. Cuma keprihatinan kita terserlah selepas malang menimpa. Malah ada kalanya kita menjadi terlalu prihatin dan bertanggungjawab, sehingga dalam masa yang singkat kita dapat menjejaki rekod hitam pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan itu.

Kita berlumba-lumba membuktikan si pemandu ada deretan saman, rekod syarikat juga tidak bersih malah bas yang terlibat dalam kemalangan itu juga tidak lagi sesuai digunakan.

Bagaimana rekod-rekod buruk ini boleh terbongkar dengan begitu mudah dan di mana pula rekod-rekod buruk itu diperap selama ini sehingga tiada tindakan pun diambil terhadap pemandu dan pemilik syarikat yang berkenaan.

Keprihatinan

Mengapa kita begitu dan apakah yang kita cuba buktikan? Sedangkan sebelum kejadian malang itu tiada siapa yang peduli jauh sekali menunjukkan keprihatinan tentang rekod pemandu tersebut, begitu juga dengan rekod bas serta syarikat yang mengendalikan bas berusia 20 tahun itu.

Sebab itu, pemandu yang memiliki 15 saman termasuk dua waran tangkap boleh sahaja meneruskan kerjayanya tanpa rasa gentar walaupun di bahunya terpikul tugas yang amat berat.

Sebab itu juga syarikat bas yang telah menerima 790 saman (mungkin satu rekod) selamba beroperasi mengejar keuntungan mengggunakan khidmat bas yang telah uzur serta pemandu yang hakikatnya layak menggantung lesen.

Peliknya bagaimana bas yang telah empat kali gagal pemeriksaan Puspakom Sdn. Bhd. ekoran kegagalan fungsi brek boleh terus dibenarkan mengangkut penumpang.

Seolah-olah nyawa penumpang tidak penting, malah mahu saja disimpulkan bahawa keuntungan lebih penting daripada nyawa manusia yang kini harganya dijaja di lebuh raya. Walaupun tidak terlintas niat untuk ‘membunuh’ tetapi unsur-unsur kecuaian telah ‘dipersetujui’ di peringkat awal lagi sehingga merencanakan kemalangan ngeri itu.

Rentetan daripada kejadian itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Chan Kong Choy mengumumkan program latihan khas penambahan kecekapan bagi semua pemandu kenderaan perdagangan berkuat kuasa serta-merta.

‘‘Saya mahu program ini dilaksanakan serta-merta, kita tidak boleh tunggu lagi, kes seperti ini menarik perhatian umum dan membabitkan banyak nyawa tidak bersalah.

‘‘Kita tidak mahu ada tanggapan bahawa sudah kena baru hendak bertindak jadi selepas ini semua pemandu bas ekspres perlu menjalani latihan kecekapan khas bagi mengelak kemalangan jalan raya,’’ katanya.

Hakikatnya walaupun keputusan memperkenalkan program tersebut menurut menteri itu telah diputuskan beberapa minggu lalu tetapi pengumuman mengenainya dibuat selepas kehilangan 20 nyawa diratapi oleh ibu, suami, anak, isteri dan adik-beradik.

Sebagai masyarakat yang bertindak balas kepada kejadian yang berlaku, timbul pula cadangan pemakaian tali pinggang keledar bagi kenderaan perdagangan terutama bas ekspres.

Mengapa selepas Bukit Gantang? Sedangkan catatan kadar kematian di jalan raya untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini masih hebat malah angka yang melibatkan pemandu serta penumpang bas lebih tinggi berbanding tahun lepas.

Bukankah sepatutnya semua cadangan itu telah dilaksanakan lebih awal lagi, paling-paling tidak pun selepas kejadian yang mengorbankan enam penumpang bas ekspres yang terhumban ke gaung berhampiran tempat rehat dan rekreasi Sungai Perak, Kuala Kangsar.

Persoalan lebih besar ialah sejauh mana Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) saling menyalurkan maklumat antara satu sama lain.

Lebih penting lagi sejauh mana maklumat serta laporan yang disalurkan itu dikemas kini sehingga membolehkan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan secara berkesan.

Persoalan ini perlu dijawab kerana seakan-akan penyaluran maklumat tidak berjalan lancar sehingga menimbulkan seribu tanda tanya bagaimana pemandu yang sarat dengan saman dan waran tangkap boleh dibiarkan berada di atas jalan raya membawa bersama puluhan nyawa.

Tidak ‘berhargakah’ waran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa sehingga pemandu berkenaan layak memperbaharui lesen memandu kenderaan perdagangan? Atau mungkinkah ia disebabkan rekod pemandu berkenaan tidak dikemas kini oleh pihak yang bertanggungjawab sehingga dia terlepas begitu sahaja.

Walaupun mungkin dapatan pasukan penyiasat yang melibatkan pegawai Institut Keselamatan Jalan Raya (Miros), JPJ dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya kelak membuktikan ada unsur kecuaian di pihak pemandu tetapi ia bukan satu-satunya pihak yang mesti disalahkan.

Begitu juga jika hasil siasatan mendapati faktor usia bas ekspres atau faktor jalan raya sekali pun sebagai punca, masih ada lagi pihak yang mesti dipertanggungjawabkan.

Kelalaian pihak berkuasa yang berkenaan membenarkan pemandu ‘bermasalah’ terus berada di jalan raya serta mengizinkan syarikat tersebut daripada terus beroperasi mesti diambil kira. Sebenarnya ‘dosa’ agensi-agensi yang berkenaan jauh lebih besar.

Ke semua pihak itu mempunyai catatan rekod, persoalannya mengapa tiada tindakan undang-undang dikenakan ataupun kita memang menunggu mala petaka ini berlaku baru hendak bertindak. Kita menunggu puluhan nyawa terkorban untuk ‘mengesahkan’ bahawa syarikat tersebut atau pemandu malang itu sememangnya bersalah dari awal lagi. Mungkin kita akan terus membiarkan kesalahan-kesalahan ini berlaku dan kemudian menghukum mereka. Kita bukan masyarakat yang mencegah sebelum parah sebaliknya menunggu parah baru hendak mencegah itu pun sekadar hangat selepas ditimpa mala petaka. Sementara menunggu puluhan nyawa terkorban lagi, kita akan terus berada di zon selesa menyebabkan kotak hitam, demerit, dan pelbagai cadangan lagi terbengkalai begitu sahaja.

Takziah kepada keluarga mangsa-mangsa tragedi Bukit Gantang.

Hak Milik Hazbj | Hak Cipta Hazbj