Sikap pembangkang yang 'kabur' terhadap pembangunan pesat di Kelantan khususnya di Bandar Kota Bharu dibidas kerana masih menganggap PAS tidak membuat sebarang pembangunan sepanjang parti itu memerintah Kelantan selama 17 tahun.
Sebaliknya, Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra bin Almarhum Al-Sultan Yahya Petra, dalam titah ucapannya sewaktu merasmikan persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan Kali ketiga (Belanjawan) bagi tempoh yang keempat Dun Kelantan ke-11, memuji pembangunan pesat yang terdapat di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, Dato' Husam Musa memberitahu, pembangkang langsung tidak mengulas titah Sultan Kelantan yang memuji pembangunan pesat yang terdapat di negeri.
"Sesetengah yang berhormat langsung tidak nampak pujian yang diberikan oleh Tuanku pada kerajaan negeri, apa sebabnya saya pun tak tahu,' ujarnya.
Husam berkata demikian ketika menggulung perbahasan menyokong titah ucapan Sultan Kelantan Khamis lalu.
Difahamkan, ucapan berkenaan sebagai menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang, Dato' Seri Annuar Musa yang juga (BN-Kok Lanas), berkata Kelantan masih tidak membangun walaupun sudah 17 tahun memerintah Kelantan.
Ketika berucap mengambil bahagian menyokong titah ucapan Sultan Selasa lalu, Annuar mendakwa Kelantan masih mundur serta rakyatnya masih dihimpit kemiskinan.
Menurut Husam lagi, baginda Sultan memuji perkembangan pesat bandar Kota Bharu yang dapat dilihat oleh semua pihak.
Tegasnya, pengusaha tempatan adalah antara mereka yang terlibat membina pelbagai jenis kedai termasuk agensi kerajaan negeri membina pusat dagangan sehingga ianya mengubah lanskap Kota Bharu dengan begitu pesat.
Tambahnya, Wakaf Che Yeh yang dahulunya tempat pembuangan sisa kilang getah, kini bertukar wajah apabila diisi dengan bangunan perniagaan baru, masjid, asrama tahfiz, pasar yang kini hampir siap.
"Ini adalah contoh kejayaan yang disebut tuanku dan saranan baginda itu juga akan dapat menjadikan semangat untuk kami meneruskan tanggungjawab terhadap rakyat, insyaallah," ujarnya.
Husam seterusnya memberitahu, pandangan tuanku supaya kerajaan negeri menubuhkan satu Holding Company untuk menguruskan hartanah di bawah satu agensi utama, amat tepat.
Husam turut menyelar Ketua Pembangkang itu apabila disifatkannya sebagai lebih sudu dari kuah kerana banyak kritikan sewaktu menyampaikan ucapan sehingga ianya lari dari teks asal.
"Setakat ini apa yang saya faham, tuanku bermaksud hartanah milik pelbagai agensi itu boleh terus dimiliki oleh agensi tersebut, tetapi untuk tujuan skala ekonomi, ia boleh menghasilkan pengurusan yang lebih berkesan dan hasil yang tinggi," ujarnya lagi.
Terdahulu ketika memulakan ucapannya, beliau mendakwa Kelantan satu-satunya dewan undangan negeri yang menyiarkan persidangannya secara langsung yang dapat diikuti melalui siaran internet, iaitu Kelantan tv dan ipglobal.tv.
Tambahnya, ia satu bukti ketelusan kerajaan Kelantan di mana semua perbahasan disiarkan secara langsung tanpa sebarang saringan.
"Dewan Rakyat sendiri tidak melaksanakan siarang langsung persidangannya," ujarnya
Friday, November 23, 2007
Ketua Umno Kelantan tidak faham titah Sultan
Posted by Salasilahjusohmuhammad@blogspot.com at 1:45 AM
Labels: Politik Sempit