KUALA LUMPUR, 23 Nov (Hrkh) - Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan perlu memohon maaf kepada para wartawan atas tindakan seorang pegawainya berpangkat ASP yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat kepada sekumpulan 15 wartawan yang membuat liputan satu kes pembunuhan di Baling semalam.
Pengerusi Badan Penggerak Demokrasi, Anuar Tahir berkata tindakan pegawai polis tersebut seharusnya dipandang berat kerana polis adalah merupakan agensi kerajaan yang paling penting.
"Saya sangat terkejut, bagaimana seorang pegawai polis berpangkat ASP boleh menggelarkan wartawan sebagai 'anjing' dan ia dalam sebuah negara yang telahpun 50 tahun mencapai kemerdekaan, di mana kebebasan medianya kian tersekat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.
Jelasnya, walau apapun jawapan yang bakal diberikan oleh Musa bagi menerangkan situasi ini, beliau melahirkan kekesalan dengan tindakan pegawai polis tersebut yang disifatkan sebagai tidak bertamadun.
"Benarlah kata orang bahawa Malaysia ialah sebuah negara polis," katanya menyokong kenyataan sesetengah pihak sebelum ini.
Anuar juga melahirkan rasa kehairanan dengan tindakan pihak polis yang menghalang para wartawan bagi menjalankan tugas mereka, sedangkan terdapat banyak lagi kes yang lebih teruk pernah dilaporkan berlaku sebelum ini.
"Kerajaan pernah menganjurkan kempen 'Budi bahasa budaya kita' kepada rakyat, tetapi kita dapat lihat sendiri pegawai-pegawai tertinggi kerajaan pun menggunakan kata-kata kesat dan tidak sesuai, termasuklah di dalam Dewan Rakyat," katanya lagi.
Bahkan ujarnya lagi, di mana-mana negara dunia ini wartawan adalah golongan yang dihormati kerana mereka adalah golongan yang berperanan untuk melaporkan sebarang kejadian yang berlaku di sesuatu tempat tanpa menghiraukan risiko termasuk mengancam nyawa mereka.
Oleh itu, Anuar menyarankan agar Musa harus membuat siasatan segera kes tersebut seterusnya mengambil tindakan ke atas pihak yang bersalah.
"Polis tersebut gagal mempamerkan sikap sivik dan bertamadun. Malah mereka bertindak melampaui bidang tugas yang telah diperuntukkan," katanya tegas.
Semalam, sekumpulan wartawan yang terbabit telahpun membuat laporan di Balai Polis Tawar, Baling setelah pegawai polis bertindak mengusir mereka dari tempat kejadian dengan perkataan "anjing".
Pegawai polis berkenaan juga didengar mengarahkan anggotanya melepaskan anjing pengesan dari Unit Anjing (K9) untuk tujuan menghalau wartawan.
Kejadian itu berlaku selepas Ketua Siasatan Jenayah Kedah ACP Mohd Zakaria Ahmad mengadakan sidang akhbar di tempat kejadian.
Dalam kejadian itu, polis menemui mayat dua lelaki di Ladang Kelapa Sawit Bukit Hijau pada pukul 10.43 pagi semalam dan kumpulan wartawan itu yang berada di tempat kejadian sejak pukul 8 pagi tidak dibenar merakamkan gambar walaupun berada di luar kawasan larangan polis.
Ketika jurufoto dan wartawan cuba merakam gambar apabila mayat berkenaan dimasukkan ke dalam kenderaan polis, pegawai polis itu menjerit "jangan masuk anjing" dan "lepaskan anjing".
Wartawan Kosmo, Othman Yahya, 45, berkata sepatutnya pegawai berkenan mencontohi Mohd Zakaria yang melayani wakil media dengan baik.
Wartawan akhbar Tamil Nesan, ML Maran, 56, berkata selama bertugas sebagi wartawan inilah pertama kali dia berdepan dengan seorang pegawai polis yang tidak menghormati tugas wartawan.
Pengerusi Kelab Media Kedah Mohd Zahari Morad berkata beliau akan mengeluarkan kenyataan mengenai insiden itu hari ini.
Friday, November 23, 2007
Polis gelar wartawan 'anjing'
Posted by Salasilahjusohmuhammad@blogspot.com at 1:42 AM
Labels: Politik Negara Kita