Saturday, December 15, 2007

Tiga askar maut, empat cedera pangkalan dihempap pokok

GERIK 15 Dis. - Tiga anggota tentera maut, manakala empat yang lain cedera apabila pangkalan sementara mereka di Sungai Ketar, Taman Negeri Royal Belum dekat sini dihempap sebatang pokok balak yang tumbang selepas hujan lebat awal pagi ini.

Panglima II Briged, Brig Jen Datuk Fazlurrahman Mohamad Irfan berkata, kesemua mangsa merupakan anggota 21 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang berpangkalan di Pengkalan Chepa, Kelantan yang sedang menjalankan operasi rondaan di kawasan berkenaan.

“Kejadian berlaku pada kira-kira 4.50 pagi tadi. Tiga mangsa yang terbunuh dihempap batang pokok lebarnya kira-kira enam kaki (dua meter)... pokok besar yang tumbang itu berada di luar kem,” katanya kepada pemberita di Hospital Gerik di sini hari ini.

Anggota yang terkorban ialah Kpl Fauzi Yamat, 35, berasal dari Kelantan; Prebet Mohd Yazman Yaakub, 35, dari Pasir Putih, Kelantan; dan Prebet Roslin Hassan, 22, dari Setiu, Terengganu.

Mereka yang cedera pula ialah Lt Shah Amirul Izham Shamsul Kamar, Lans Kpl Mohd Yusri Yusuf, Prebet Mohd Izham Ishak dan Prebet Amar Mohamad Nordin.

Berita penuh


Sepatutnya kejadian seumpama ini boleh dielakkan dan dah banyak kali kejadian-kejadian yang menimpa anggota tentera merupakan kejadian yang boleh dielakkan.Sepatutnya,tentera melalui "unit pegawai keselamatannya" mesti memeriksa dan menilai setiap "tempat dan lokasi yang telah sedia" ada dan "lokasi baru" yang yang ingin dibangunkan...Adakah ianya menepati ciri-ciri keselamatan..terutama kepada anggota-anggotanya.

Jadi...saya menyeru kepada pihak tentera..jadikanlah "IKTIBAR DALAM KES INI"...dan kaedah penyelesaian kes perlulah diubah.

Read More......

Tuesday, December 11, 2007

Gambar Sekitar Penangkapan Di Parlimen

Bersih akhirnya berjaya mengadakan sidang media di pekarangan lobi parlimen pada jam 11.40 pagi tadi (11 Disember 2007) dan serentak dengan itu menyerahkan memo Bersih kepada ahli-ahli parlimen pembangkang untuk disampaikan kepada ahli parlimen yang lain.

Berikut dipaparkan sebahagian dari detik-detik ketika majlis berlangsung.(petikan gambar dari harakahdaily.

Read More......

Thursday, December 6, 2007

Laporan polis terhadap Rahim Tamby Chik


Satu laporan polis telah dibuat oleh Ketua Pemuda DAP Melaka, Tey Kok Kiew. Laporan tersebut berasaskan kepada artikel yang disiarkan dalam akhbar berbahasa Cina - China Press - Ahad lalu.

Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik yang didakwanya telah mengapi-apikan kebencian terhadap kaum bukan Melayu.Laporan antara lain melaporkan Rahim berkata orang Melayu tidak pernah mengadakan protes dan oleh itu jangan memaksa mereka berbuat demikian kerana mereka akan mengeluarkan parang untuk mempertahan ketuanan Melayu di negara ini.

Abdul Rahim dikatakan membuat kenyataan tersebut dalam ucapannya selaku Pengerusi Gabungan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) dalam satu majlis di Melaka Sabtu lalu.

Dalam laporan yang dibuat di balai polis Melaka Tengah, Tey menuduh Abdul Rahim cuba menggunakan keganasan untuk mempertahankan ketuanan Melayu, dengan menyampaikan ucapan yang berunsur hasutan.

Menurutnya, Abdul Rahim cuba mempengaruhi masyarakat Melayu supaya bertindak ganas terhadap bukan Melayu yang mengadakan protes.

Beliau juga berkata, Abdul Rahim menggalakkan keganasan dalam ucapannya itu.

Tey berkata, pihak polis mesti menyiasat dan bertindak terhadap Abdul Rahim jika beliau didapati membuat kenyataan berunsur hasutan itu.

Perhimpunan kaum India

Ucapan Abdul Rahim dipercayai dibuat ekoran perhimpunan rakyat yang berlangsung di Kuala Lumpur bulan lalu.

Pada 25 November, kira-kira 30,000 rakyat Malaysia keturunan India mengadakan perhimpunan di Jalan Ampang dan cuba berarak ke Suruhanjaya Tinggi British untuk menyerahkan petisyen yang mendakwa mereka telah dipinggirkan sejak dibawa untuk bekerja sebagai buruh di Malaya.

Polis menggunakan gas pemedih mata dan pancutan air untuk menyuraikan mereka. Para pemimpin kerajaan kemudiannya mengecamkan perhimpunan tersebut sebagai bermotifkan perkauman.

Penganjur perhimpunan itu telah dituduh sebagai "pembohong dan ekstrimis" kerana mendakwa berlakunya penghapusan kaum India di negara ini.

ULASAN - PARA PEMIMPIN UMNO DARI DULU SEHINGGA KINI DAN MUNGKIN SELAMA-LAMANYA...ITULAH KAEDAH DAN CARA PERMAINAN POLITIK MEREKA UNTUK MENARIK SOKONGAN ORANG MELAYU TERUTAMA DI DALAM PILIHANRAYA YANG TIDAK BERAPA LAMA LAGI.HATTA MEREKA SANGGUP GADAIKAN PRINSIP,MARUAH,ANAK BINI DAN NYAWA RAKYAT DEMI MENCAPAI MATLAMAT POLITIK MEREKA.INSAFLAH WAHAI ORANG-ORANG UMNO YANG BERPERANGAI SEDIMIKIAN...UBAHLAH..KAMU ORANG ISLAM...ISLAM DAHPUN GARISKAN PANDUAN UNTUK SEORANG YANG BERGELAR "PEMIMPIN".

Read More......

Tuesday, December 4, 2007

Tulisan Mufti Perlis 'tamparan' kepada PM dan Umno

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Hrkh) - Tulisan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam akhbar arus perdana ahad lalu yang bertajuk "Wahai Pemimpin! Kemewahan Dirimu Bukanlah Kehebatanmu" disifatkan sebagai tulisan yang memberi tamparan kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan pemimpin Umno.

Tulisan ini adalah satu tamparan yang hebat terhadap sikap pemimpin Umno yang sering menjadikan kedudukan mereka dalam Umno dan kerajaan sebagai peluang untuk menambahkan harta walaupun dengan cara 'mencuri' harta negara, kata Ketua Penerangan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Herman Shamsudeen.

Sikap ini jauh sekali dengan apa yang ditunjukkan oleh pemimpin Islam yang sejati iaitu Khalifah Umar Abd Aziz, katanya.

Kehidupan Khalifah Umar begitu jauh berbeza dengan gaya hidup pemimpin Umno, ujarnya dalam satu komentarnya hari ini.

Baju Khalifah Umar jauh lebih murah jika dibandingkan dengan jam tangan pemimpin Umno, katanya.

Makanan Khalifah Umar juga jauh lebih sederhana berbanding dengan pemimpin Umno yang sering makan di hotel-hotel bertaraf lima bintang yang mewah, katanya.

Jika dibaca riwayat Khalifah agung ini, beliau tidak memiliki begitu banyak rumah sebagaimana yang dimiliki oleh pemimpin Umno, katanya.

Selain itu, semua bil dan perbelanjaan mereka termasuklah untuk urusan peribadi dibayar menggunakan duit negara, dan ia berbeza dengan khalifah Umar yang mematikan pelita milik negara bila anaknya ingin bicara soal keluarga dengannya, katanya.

Antara petikan menarik dalam tulisan Asri ialah :

Hari ini, banyak sukatan dan ukuran telah berubah. Ramai manusia yang tidak memiliki idealisma atau karisma kepimpinan muncul menjadi pemimpin hanya kerana hartanya, atau kem politiknya yang telah berjaya, lalu dia pun dibakulkan sekali. Apabila seseorang naik dalam politik kerana hasil umpan hartanya semata, tentu dia inginkan pulangan modalnya.

Maka rasuah dan politik wang akan berluas-luasa. Jika dia naik dalam politik kerana ketajaman idealisma dan karismanya, maka sudah pasti dia ingin membuktikan kemampuan pemikiran yang bernas itu untuk dimanfaatkan masyarakat.

Maka rakyat mendapat pulangan faedah yang besar dari pemimpin yang berwibawa dan berkarisma, tetapi akan terpaksa membayar harga yang tinggi terhadap pemimpin yang diangkat kerena umpan hartanya.

Maka akhirnya nanti, golongan Ruwaibidah akan menguasai masyarakat. Al-Ruwaibidoh adalah satu istilah yang diguna pakai oleh Nabi s.a.w. untuk menggambarkan satu golongan yang akan muncul menjelang kiamat. Mereka adalah kelompok yang tidak berkualiti tetapi ingin berbicara persoalan besar.

Sabda baginda: 'Sesungguhnya sebelum kedatangan dajjal-dalam riwayat yang lain: sebelum kiamat- adanya tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang dusta, dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang khianat, dan bercakap ketika itu al-Ruwaibidoh.

Para sahabat bertanya: "Siapakah al-Ruwaibidoh?" Sabda Nabi s.a.w.: Orang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai)." Hadith ini diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Abu Ya'la, al-Bazzar, Ibnu Majah, al-Kharaiti, dan al-Hakim. Al-Hakim menyatakan isnadnya sahih.dan ini disetujui oleh Al-Zahabi.

Maka menjadi tanggungjawab rakyat dan kepimpinan negara memastikan setiap tokoh yang akan dilantik adalah kerana kewibawaannya.

Karisma atau kewibawaan itu dirujuk kepada dua persoalan asas; pertama; persoalan pegangannya kepada agama secara menepati al-Quran dan Sunah.

Ini kerana kemuliaan umat ini mempunyai kaitan yang tidak boleh dipisah dengan penghayatan seseorang terhadap ajaran Allah dan RasulNya. Kedua; kemampuannya dalam memegang amanah kepimpinan dalam ertikata mampu memimpin umat ke arah kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat.

Bukan semestinya lebai atau ustaz, tetapi iltizam dan keupayaan. Bukan kemewahan hartanya, atau lebar serbannya, tetapi kewibawaannya. Firman Allah: (maksudnya) "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu." (Surah an-Nisa' ayat 58).

Amatlah dukacita bagi sebuah masyarakat yang apabila disebut perkataan pemimpin politik lalu terus terbayang dalam pemikiran kebanyakan orang tentang limpahan hartanya dan gaya mewahnya, bukan ketajaman mindanya atau keprihatinannya kepada rakyat. Sebenarnya, kita pun suka pemimpin yang kaya berharta, jika itu semua membolehkannya membantu rakyat khususnya kaum muslimin.

Namun hendaklah kekayaan adalah hasil dari titik peluhnya sendiri atau usahanya yang tidak mencemarkan kepentingan harta rakyat. Jika itu dapat dilakukan, dia bukan sahaja memimpin idea yang baik, juga penderma yang membawa kebaikan untuk rakyatnya. Kekayaan pemimpin mesti untuk manfaat rakyat.

Maka dengan itu dia dipilih di samping kewibawaannya juga kerana kesudiannya menghulurkan bantuan, bukan membisneskan harta rakyat. Dalam Musannaf Abi Syaibah juga meriwayatkan surat Amirul Mukminin 'Umar bin al-Khattab r.a. kepada gabenornya Abu Musa al-Asy'ari r.a., antara isinya:

"Sesungguhnya pemimpin yang paling bahagia ialah mereka yang menyebabkan rakyatnya bahagia, dan pemimpin yang paling celaka ialah yang menyebabkan rakyatnya celaka. Jaga-jaga engkau jangan bermewah-mewahan, nanti pegawai-pegawaimu juga akan bermewah-mewahan". (8/147)

Maka seorang pemimpin itu mestilah mempunyai penasihat-penasihat yang baik. Mereka menasihatinya dengan jujur, dan hendaklah selalu dia berkata "berikan pendapat yang ikhlas lagi diredhai Allah kepada saya" Sabda Nabi s.a.w.: "Tidak dilantik seorang khalifah melainkan akan ada baginya dua bitanah (penasihat yang rapat).

(Pertama) Bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kebaikan serta menggalakkannya. (Kedua) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kejahatan serta menggalakkannya. Hanya selamat ialah sesiapa yang selamatkan ALLAH. (Riwayat al-Bukhari dan al-Nasai).

Semua pemimpin hendaklah memastikan perdampingan dengan penasihatan yang baik itu benar-benar dihayati dalam kepimpinannya. Inilah jalan selamat setiap kepimpinan.Umara jujur hendaklah selalu bersama para ulama yang ikhlas.

Keikhlasan para ulama menyuburkan keadilan pemerintah. Maka haram dan khianatlah ulama jika mereka mengampu sehingga pemimpin terbuai nyenyak dalam kesalahan.

Read More......

Wahai pemimpin! kemewahan diri bukan kehebatanmu

Oleh: DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN

Saya terbaca dialog yang menarik antara khalifah yang sangat adil, Umar bin Abdul Aziz dan penasihatnya yang jujur Rajak bin Haiwah. Kata Rajak: Ketika Umar bin Abdul Aziz menjadi Gabenor Madinah, beliau pernah berkata kepadaku: “Wahai Rajak! pergi belikan untukku sehelai baju.

”Aku pun belikan untuknya sehelai baju yang bagus, harganya 500 dirham. Apabila aku membawanya kepada beliau, maka beliau memegangnya dan berkata: “Bagus, cuma ia murah.” Selepas beberapa tahun beliau menjadi khalifah, suatu hari beliau berkata kepadaku: “Belikan untukku sehelai baju.” Maka aku membeli untuknya baju yang murah lagi amat sederhana, harganya hanya 5 dirham. Apabila aku membawanya kepada beliau, maka beliau memegangnya dan berkata: “Bagus, cuma ia mahal.” Aku kehairanan, bagaimana mungkin baju yang aku beli untuknya di Madinah beberapa tahun lalu dengan harga 500 dirham dianggap murah dan baju yang aku beli sekarang dengan harga 5 dirham dianggap mahal. Perasaanku tersentuh dengan perkataan beliau dan aku pun menangis. Umar bertanya: “Apa yang membuatkan engkau menangis wahai Rajak? Kataku: “Perkataanmu wahai Amirulmukminin, bagaimana mungkin engkau menganggap baju lepas yang berharga lima ratus dirham murah, dan baju sekarang yang berharga lima dirham mahal? Kata Umar: “Wahai Rajak, sesungguhnya aku memiliki jiwa yang sentiasa berkeinginan. Setiap kali aku mencapai sesuatu, jiwaku inginkan sesuatu yang lebih dari itu. Wahai Rajak! Jiwaku inginkan sepupuku Fatimah binti Abdul Malik, lalu aku mengahwininya. Kemudian jiwaku inginkan jawatan gabenor, lalu aku dilantik memegangnya. Kemudian jiwaku inginkan jawatan khalifah, lalu aku mencapainya. Sekarang jiwaku inginkan syurga, aku harap aku dapat menjadi penghuninya.” (lihat: Salah al-Khalidi, Al-Khittah al-Barraqah lizi al-Nafs al-Tauwaqah, 93-94, Damsyik: Dar al-Qalam).

Demikianlah jiwa seorang pemimpin yang mencatatkan sejarah keadilan kepimpinannya dengan tinta emas. Dia hanya memerintah dua tahun, tetapi mengukir namanya dengan penuh keindahan di persada sejarah. Hubungan jiwanya dengan habuan kekal yang diharapkan di sisi Allah pada hari akhirat menjadikan kepimpinannya penuh keadilan dan rahmat Allah sekalipun pakaiannya hanya dari kain murahan, tetapi keadilannya tidak dapat dibeli dengan apa-apa harga. Sejarah tidak pernah mengenangkan kemewahan harga baju atau kediaman seorang pemerintah dengan kenangan indah. Bahkan dalam sejarah, sikap suka bermewah-mewah pemerintah menggunakan harta rakyat banyak menghasilkan mimpi ngeri dan babak hitam bagi kehidupan rakyat. Namun sejarah indah hanya akan mengingati keadilan dan amanahnya seorang penguasa, sekalipun bajunya buruk. Lihatlah tampungan pada baju Khalifah Umar bin al-Khattab r.a., namun jiwa rakyatnya tidak pernah berlubang seperti bajunya. Amanah dan keadilan meliputi pemerintahannya. Entah berapa ramai pemimpin yang baju mereka megah dan mewah, namun jiwa dan perasaan rakyat mereka sentiasa terkoyak dan carik. Kesilapan besarlah seorang pemimpin jika merasakan dia dihormati kerana gaya mewahnya yang menjulingkan mata rakyat. Dia lupa pemimpin dihormati kerana jasa, prihatin, amanah dan keadilan pemerintahannya. Bukan kerana kenderaan mewah, rumah yang megah, paip yang panjang, isteri yang berhias permata berlian atau cermin mata yang pekat hitam sehingga dia buta penderitaan rakyatnya. Tidak! Sesungguhnya tidak. Itu semua menimbulkan curiga, prasangka dan kedengkian perasaan yang memburukkan kasih sayang antara orang bawahan dan atasan.

Saya tidak pernah menyeru pemimpin dunia Islam hidup kemiskinan, kelaparan, memakai pakaian buruk dan tinggal di rumah yang nak roboh atau berkenderaan cabuk. Tidak! Mungkin gaya yang hebat juga diperlukan untuk politik zaman kini yang terpaksa menghadapi persaingan musuh-musuh yang pelbagai. Mereka boleh bermewahan jika itu adalah harta mereka yang halal. Mereka boleh memakai dan memiliki apa yang mereka mahu, jika itu datang dari sumber yang Allah reda. Saya tahu, ada pemimpin yang berharta hasil usahanya sendiri. Bahkan kekayaan sesetengah pemimpin melimpah untuk rakyatnya dengan keikhlasan dan kasih sayang. Perlis barangkali antara contoh yang baik dalam hal ini. Namun di sesetengah negara dan negeri, keranggian pemimpin yang bergaya dengan hartanya menimbulkan kejengkelan dalam jiwa rakyat. Sehingga seakan perlambangan seorang pemimpin itu, bukan kerana kewibawaannya atau adab dan karismanya, keadilannya, sebaliknya adalah harta dan kekayaannya yang ditunjuk- tunjukkan. Rumah pemimpin dikenali bukan kerana dipenuhi rakyat yang mengadu hal derita mereka tetapi kerana pagarnya yang besar, dan kemewahan luar dan dalamnya. Kereta pemimpin dikenali bukan kerana kerap sampai ke tempat rakyat tetapi kerana luar biasa harganya. Isteri pemimpin dikenali bukan kerana adab dan sopannya terhadap rakyat, tetapi kerana gaya ranggi dan hiasan diri yang mahal- mahal. Maka sesetengah pemimpin merasakan dirinya berada pada kasta yang tinggi dan rakyat pada kasta bawahan. Maka wakil rakyat ada yang bertukar menjadi ‘tokeh rakyat’. Jika hal ini berlaku, politik kedengkian akan subur dan terus merebak lalu umat ini terus bergolak. Saya terbaca dalam Musannaf Abi Syaibah riwayat yang menceritakan apabila dibawa kepada Sayidina Umar harta rampasan Maharaja Kisra Parsi yang begitu banyak dan menakjubkan, maka beliau pun menangis. Lalu ditanya kepadanya: “Apa yang membuatkan engkau menangis wahai Amirulmukminin, padahal hari ini adalah hari kesyukuran, kegembiraan dan keseronokan.” Jawab Umar: “Tidak ada kaum yang banyak pada mereka benda ini (harta) melainkan Allah campakkan di antara mereka permusuhan dan kebencian” (8/147). Islam bukanlah anti harta, tetapi Islam memusuhi penyalahgunaan harta dan kemewahan yang mengheret kemusnahan. Masyarakat Islam perlu kaya, tetapi kekayaan yang membawa kekuatan kepada umat, bukan hanya untuk keborosan individu. Jika ramai yang kaya tetapi tidak berbakti kepada umat, untuk apa kita berbangga dengan kekayaan mereka?

Jika pemimpin menjadikan harta dan gaya mewah teras kekuatannya, bukan keadilan dan kewibawaannya, maka insan-insan munafik dan pelahap harta akan mengelilinginya. Dia dipuji kerana harta yang boleh diberi. Dia akan sukar menemui insan jujur yang sudi menegur tanpa minta dibalas dan menasihati kerana ikhlas. Maka kesilapannya tidak dibetulkan, kesalahannya tidak diingatkan. Lalu dia tenggelam dalam pujian dusta dan khianat, kerana setiap yang ada di kelilingnya tidak pernah berfikir tentang nasib pemimpin mereka di akhirat sebaliknya hanya berfikir tentang untung mereka di dunia. Jika ada tokoh berlabel agama di sekitarnya pun, tidak akan berfungsi jika harta yang dicarinya. Akhirnya, ulama hanya mainan orang politik, bukan orang politik dipandu oleh ulama. Allah berfirman dalam surah al-Ahzab ayat 66-68: (maksudnya) Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata (dengan sesalnya): “Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat kepada Rasul Allah. Dan mereka berkata lagi: “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar. Wahai Tuhan kami, berilah mereka azab sengsara dua kali ganda, dan laknatkanlah mereka dengan laknat yang sebesar-besarnya!” Justeru itu dalam hadis baginda menyebut: “Sesungguhnya Allah meredai kamu tiga perkara, dan memurkai kamu tiga perkara. Dia meredai kamu jika (pertama) kamu beribadah kepada-Nya dan tidak menyekutukan-Nya sedikit pun, (kedua) kamu berpegang teguh dengan tali Allah kesemuanya. (ketiga) Kamu menasihati sesiapa yang Allah jadikan dia memerintah urusan kamu. Dia memurkai kamu banyak bercakap (yang tiada faedah), menghilangkan harta dan banyak bertanya (maksudnya pertanyaan yang tidak berfaedah) (Riwayat Malik dalam al-Muwatta).

Hari ini, banyak sukatan dan ukuran berubah. Ramai yang tidak memiliki idealisme atau karisma kepimpinan menjadi pemimpin hanya kerana harta atau kem politiknya yang berjaya, lalu dia pun dibakulkan sekali. Apabila seseorang naik dalam politik kerana hasil umpan hartanya semata, tentu dia inginkan pulangan modalnya. Maka rasuah dan politik wang akan berleluasa. Jika dia naik dalam politik kerana ketajaman idealisme dan karismanya, maka sudah pasti dia ingin membuktikan kemampuan pemikiran yang bernas itu untuk dimanfaatkan masyarakat. Maka rakyat mendapat pulangan faedah yang besar daripada pemimpin yang berwibawa dan berkarisma, tetapi akan terpaksa membayar harga yang tinggi terhadap pemimpin yang diangkat kerana umpan hartanya. Maka akhirnya, golongan Ruwaibidoh akan menguasai masyarakat. Al-Ruwaibidoh adalah satu istilah yang diguna pakai oleh Nabi s.a.w. untuk menggambarkan golongan yang akan muncul menjelang kiamat. Mereka adalah kelompok yang tidak berkualiti tetapi ingin berbicara persoalan besar. Sabda baginda: “Sesungguhnya sebelum kedatangan dajjal-dalam riwayat yang lain: sebelum kiamat – adanya tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang dusta, dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang khianat, dan bercakap ketika itu al- Ruwaibidoh. Para sahabat bertanya: “Siapakah al-Ruwaibidoh?” Sabda Nabi s.a.w.: Orang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai).” Hadis ini diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Abu Ya‘la, al-Bazzar, Ibnu Majah, al-Kharaiti, dan al- Hakim. Al-Hakim menyatakan isnadnya sahih dan ini disetujui oleh Al-Zahabi.

Maka menjadi tanggungjawab rakyat dan kepimpinan memastikan setiap tokoh yang akan dilantik adalah kerana kewibawaannya. Karisma atau kewibawaan dirujuk kepada dua persoalan asas; pertama; pegangannya kepada agama secara menepati al- Quran dan sunah. Ini kerana kemuliaan umat ini mempunyai kaitan yang tidak boleh dipisah dengan penghayatan seseorang terhadap ajaran Allah dan Rasul-Nya. Kedua; kemampuannya memegang amanah kepimpinan dalam erti kata mampu memimpin umat ke arah kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat. Bukan semestinya lebai atau ustaz, tetapi iltizam dan keupayaan. Bukan kemewahan harta atau lebar serbannya tetapi kewibawaannya. Firman Allah: (maksudnya) “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu.” (an-Nisa’ ayat 58).

Amatlah dukacita bagi sebuah masyarakat yang apabila disebut pemimpin politik lalu terus terbayang dalam pemikiran tentang limpahan harta dan gaya mewahnya, bukan ketajaman minda atau keprihatinannya kepada rakyat. Kita suka pemimpin yang berharta, jika itu membolehkannya membantu rakyat khususnya muslimin. Namun hendaklah kekayaan hasil titik peluhnya atau usahanya yang tidak mencemarkan kepentingan harta rakyat. Jika itu dapat dilakukan, dia bukan sahaja memimpin idea yang baik, juga penderma yang membawa kebaikan untuk rakyat. Kekayaan pemimpin mesti untuk manfaat rakyat. Maka dengan itu dia dipilih di samping kewibawaannya juga kerana kesudiannya menghulurkan bantuan, bukan membisneskan harta rakyat.

Dalam Musannaf Abi Syaibah juga meriwayatkan surat Amirulmukminin Umar bin al-Khattab r.a. kepada gabenornya Abu Musa al-Asy‘ari r.a., antara isinya: “Sesungguhnya pemimpin yang paling bahagia ialah mereka yang menyebabkan rakyatnya bahagia, dan pemimpin yang paling celaka ialah yang menyebabkan rakyatnya celaka. Jaga-jaga engkau jangan bermewah-mewahan, nanti pegawai-pegawaimu juga akan bermewah-mewahan.” (8/147).

Maka seorang pemimpin itu mestilah mempunyai penasihat-penasihat yang baik. Mereka menasihatinya dengan jujur, dan hendaklah selalu dia berkata “berikan pendapat yang ikhlas lagi diredai Allah kepada saya. Sabda Nabi s.a.w.: “Tidak dilantik seorang khalifah melainkan akan ada baginya dua bitanah (penasihat yang rapat). (Pertama) Bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kebaikan serta menggalakkannya. (Kedua) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kejahatan serta menggalakkannya. Hanya selamat ialah sesiapa yang selamatkan Allah (Riwayat al- Bukhari dan al-Nasai). Semua pemimpin hendaklah memastikan perdampingan dengan penasihatan yang baik itu benar-benar dihayati dalam kepimpinannya. Inilah jalan selamat setiap kepimpinan. Umara jujur hendaklah selalu bersama para ulama yang ikhlas. Keikhlasan para ulama menyuburkan keadilan pemerintah. Maka haram dan khianatlah ulama jika mereka mengampu sehingga pemimpin terbuai nyenyak dalam kesalahan.

- DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis. E-mel: moasriza@yahoo.com

Layari http://drmaza.com/

Read More......

Takziah untuk mangsa payung terjun

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Hrkh) - Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terbabit dalam nahas payung terjun di Langkawi, Kedah Ahad lalu.

"Saya yakin seluruh rakyat Malaysia menghargai pengorbanan perajurit-perajurit ini untuk tanah air," kata Presiden KeADILan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataanya semalam.

Mangsa telah terkorban semasa raptai penuh upacara pembukaan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2007 di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, katanya.

Dr Wan Azizah yang mewakili ahli dan pimpinan KeADILan mendoakan agar roh mangsa dicucuri rahmat dan kepada keluarga mangsa di harapkan sabar dan tabah.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi Ahad, tiga daripada 138 anggota Pasukan 10 Briged Para dari Kem Terendak, Melaka maut, manakala 11 lagi cedera selepas penerjunan mereka tersasar lebih 500 meter dari zon pendaratan di lapangan terbang Langkawi akibat tiupan angin kencang yang didakwa berlaku secara tiba-tiba.

Sebahagian daripada mereka jatuh di luar pagar lapangan terbang dan tersangkut di pokok, manakala sebahagian lagi jatuh ke laut termasuk tiga anggota yang terkorban.

Anggota Briged Para yang terkorban ialah Renjer Siti Hajar Yakub, 24; Prebet Nurul Wahida Mohamad Yunus, 20; dan Trooper Raimond Duncan, 25.

Dalam perkembangan berkaitan, media massa utama melaporkan acara penerjunan melibatkan anggota Briged Para bagi pembukaan pertunjukan udara Pameran Antarabangsa Udara dan Maritim Langkawi (LIMA 2007) dibatalkan penganjur.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Pertahanan dilapor berkata, perubahan luar jangka dalam masa 24 jam itu dibuat ekoran kemalangan yang berlaku Ahad lalu.

Selain tiga anggota yang terbunuh, 11 mengalami kecederaan termasuk Suraya Ali, 23, yang kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Anggota 10 Briged Para (PAC - Pasukan Aturgerak Cepat) adalah benteng hadapan tentera Malaysia dalam menghadapi satu-satu krisis yang berlaku.

Mereka adalah unit pertama yang akan di aturgerakkan andainya berlaku sesuatu krisis seperti penawanan lapangan terbang oleh musuh.

Para penganalisis berpendapat, pertunjukkan di Langkawi sebenarnya adalah sebahagian daripada latihan warga PAC 10 Briged Para dalam memastikan kesiap-siagaan mereka pada sebilangan masa.

ULASAN SAYA - KEMENTERIAN PERTAHANAN PERLU MELAKUKAN SESUATU BAGI MENGELAK ATAU MENGGURANGKAN KES-KES SEUMPAMA INI.cONTOH PALING SIMPLE IALAH LAKUKANLAH SOLAT HAJAT DAN DOA SELAMAT..MOHON KEHADRAT ALLAH..SEMUGA DIJAUHKAN DARI SEGALA BENTUK BENCANA DAN MUSIBAH...DAN INI SEPATUTNYA MENJADI SATU AMALAN ATM...MEMANG SAYA AKUI,ATM ADALAH SATU UNIT DAN PASUKAN YANG LENGKAP DAN KUAT....TAPI SEDAR,INGAT DAN INSAFLAH..KEKUATAN ALLAH LAGI HEBAT.

Read More......

Friday, November 23, 2007

Ketua Umno Kelantan tidak faham titah Sultan

Sikap pembangkang yang 'kabur' terhadap pembangunan pesat di Kelantan khususnya di Bandar Kota Bharu dibidas kerana masih menganggap PAS tidak membuat sebarang pembangunan sepanjang parti itu memerintah Kelantan selama 17 tahun.

Sebaliknya, Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra bin Almarhum Al-Sultan Yahya Petra, dalam titah ucapannya sewaktu merasmikan persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan Kali ketiga (Belanjawan) bagi tempoh yang keempat Dun Kelantan ke-11, memuji pembangunan pesat yang terdapat di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, Dato' Husam Musa memberitahu, pembangkang langsung tidak mengulas titah Sultan Kelantan yang memuji pembangunan pesat yang terdapat di negeri.

"Sesetengah yang berhormat langsung tidak nampak pujian yang diberikan oleh Tuanku pada kerajaan negeri, apa sebabnya saya pun tak tahu,' ujarnya.

Husam berkata demikian ketika menggulung perbahasan menyokong titah ucapan Sultan Kelantan Khamis lalu.

Difahamkan, ucapan berkenaan sebagai menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang, Dato' Seri Annuar Musa yang juga (BN-Kok Lanas), berkata Kelantan masih tidak membangun walaupun sudah 17 tahun memerintah Kelantan.

Ketika berucap mengambil bahagian menyokong titah ucapan Sultan Selasa lalu, Annuar mendakwa Kelantan masih mundur serta rakyatnya masih dihimpit kemiskinan.

Menurut Husam lagi, baginda Sultan memuji perkembangan pesat bandar Kota Bharu yang dapat dilihat oleh semua pihak.

Tegasnya, pengusaha tempatan adalah antara mereka yang terlibat membina pelbagai jenis kedai termasuk agensi kerajaan negeri membina pusat dagangan sehingga ianya mengubah lanskap Kota Bharu dengan begitu pesat.

Tambahnya, Wakaf Che Yeh yang dahulunya tempat pembuangan sisa kilang getah, kini bertukar wajah apabila diisi dengan bangunan perniagaan baru, masjid, asrama tahfiz, pasar yang kini hampir siap.

"Ini adalah contoh kejayaan yang disebut tuanku dan saranan baginda itu juga akan dapat menjadikan semangat untuk kami meneruskan tanggungjawab terhadap rakyat, insyaallah," ujarnya.

Husam seterusnya memberitahu, pandangan tuanku supaya kerajaan negeri menubuhkan satu Holding Company untuk menguruskan hartanah di bawah satu agensi utama, amat tepat.

Husam turut menyelar Ketua Pembangkang itu apabila disifatkannya sebagai lebih sudu dari kuah kerana banyak kritikan sewaktu menyampaikan ucapan sehingga ianya lari dari teks asal.

"Setakat ini apa yang saya faham, tuanku bermaksud hartanah milik pelbagai agensi itu boleh terus dimiliki oleh agensi tersebut, tetapi untuk tujuan skala ekonomi, ia boleh menghasilkan pengurusan yang lebih berkesan dan hasil yang tinggi," ujarnya lagi.

Terdahulu ketika memulakan ucapannya, beliau mendakwa Kelantan satu-satunya dewan undangan negeri yang menyiarkan persidangannya secara langsung yang dapat diikuti melalui siaran internet, iaitu Kelantan tv dan ipglobal.tv.

Tambahnya, ia satu bukti ketelusan kerajaan Kelantan di mana semua perbahasan disiarkan secara langsung tanpa sebarang saringan.

"Dewan Rakyat sendiri tidak melaksanakan siarang langsung persidangannya," ujarnya

Read More......

Hak Milik Hazbj | Hak Cipta Hazbj