Monday, October 1, 2007

Tol akan naik lagi 1 Januari 2008?

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Hrkh) - Pengumuman terkini, Menteri Kerja Raya, Dato' Seri S.Sammy Vellu yang menyatakan mengenai betapa kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk mengelakkan kenaikan 10 perarus bayaran tol hanya memberi 'signal' bahawa kenaikan akan berlaku menjelang 1 Januari 2008 nanti.

Signal 'awal' dari Samy ini sekaligus akan meneruskan lagi episod awal kepada siri penjajahan poket rakyat bagi memenangi hati kroni-kroni mengaut kekayaan negara.

Seperti biasa kerajaan Malaysia yang diterajui Umno/BN akan menggunakan hujah 'berdasarkan perjanjian, pemilik konsesi berhak menaikkan harga tol.

Dan kerajaan juga katanya berpandangan sekiranya pemilik konsesi tidak dibenarkan menaikan harga tol maka kerajaan terpaksa menggunakan wang negara, kata Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Badrul Hisham Shaharin kepada Harakahdaily hari ini

"Menjadi persoal siapa yang membuat perjanjian bodoh yang jelas berat sebelah ini? Maknanya syarikat kapitalis ini lebih berkuasa dari kerajaan BN yang lemah ini,"kata Badrul Hisham.

Usaha tutup kelemahan kerajaan

Perlu disedari kenaikan tol, hak dan perjanjian konsesi ini sebenarnya satu usaha terancang untuk menutup kelemahan dan amalan korupsi rompakan wang negara secara berterusan, katanya.

"Kita mengambil contoh pemegang kosesi terbesar lebuhraya di Malaysia, PLUS. Syarikat ini telah mengalami keuntungan sebanyak RM583 juta untuk separuh tahun 2007 (Januari-Jun 2007) dan berdasarkan rekod keuntungan ini sentiasa meningkat dari tahun ke tahun berdasarakan pertambahan jumnlah kenderaan di Malaysia,"kata Badrul Hisham.

Malangnya kerajaan tidak boleh menghalang kenaikan seperti yang kononya termaktub dalam perjanjian kerana 'perjanjian sulit' dengan pemegang saham syarikat tersebut, ujarnya.

Krisis 1997-1998 'bail out' jamin kepentingan kroni

Dalam isu ini, Badrul Hisham mengimbau sejarah sewaktu krisis ekonomi 1997-1999.

Ketika itu kerajaan telah membelanjakan berbilion-bilion ringgit untuk menyelamatkan Kumpulan Syarikat UEM-Renong terutamanya Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) melalui Khazanah Nasional yang kini secara efektif memegang ekuiti PLUS sebanyak 69 peratus, katanya.

Kerana usaha 'bail ou't yang menjamin kepentingan kroni maka sehingga kini rakyat terus menderita, ujarnya.

"Setiap kali membayar tol kita bukan sahaja membayar harga menggunakan lebuhraya tetapi kita turut tolong membayar hutang 'bail out' yang dibuat oleh kroni,"ujarnya.

Mengulas pengumuman Samy Vellu itu beliau melihat bahawa tiga implikasi besar dari pengumuman tersebut akan dirasai.

Tiga impilkasi jika harga tol naik

Pertamanya kerajaan akan menguar-uarkan kadar kenaikan dan kemudian akan mengumumkan 'dengan penuh rasa keperhatinan' bahawa kerajaan berkorban untuk tidak menaikkan (atau menaikkan separuh) kadar tol tetapi kerajaan berkorban dengan membayar sejumlah billion Ringgit Malaysia kepada pemegang konsesi sebagai pampasan, katanya.

Ini kerana pilihan raya yang terlalu hampir, Maka rakyat akan terus ditipu dengan lupa opsyen pertama ini dengan yang akan rugi tetap rakyat, katanya.

Ringgit Malaysia yang dibayar ialah datangnya dari belanjawan negara juga sementara melaluinya pemimpin BN melalui kroni mereka akan terus menikmati keuntungan yang dikehendaki, katanya.

Pihak yang lebih rugi ialah rakyat Sabah dan Sarawak yang terpaksa yang terpaksa melalui jalan yang teruk setiap hari tetapi wang mereka juga secara tidak langsung turut dirompak melalui belanjawan negara, katanya.

Implikasi ke dua yang akan berlaku ialah jika rakyat berani rakyat bangkit dengan kesedaran dengan menunjukkan protes secara langsung dan tidak langsung, katanya.

Dari tidak membayar tol, menyertai protes-protes terbuka dan sekurang kurangnya rakyat sedar yang Malaysia sedang ditadbir oleh kerajaan yang bekerjasama dengan kapitalis merompak, katanya.

"Implikasi ketiga yang boleh mungkin berlaku ialah, lebih 'malangnya' jika kerajaan terus menaikkan harga tol kerana yakin tidak akan hilang undi.

"Walaupun pilihan raya amat hampir rakyat akan terus hilang maruah diri tertipu dan terus mengundi BN dan keyakinan ini diperkukuhkan dengan yakin betapa SPR telah sedia menjadi kuda tunggangan BN untuk menjamin kemenangan,"katanya sinis.


Read More......

Hak Milik Hazbj | Hak Cipta Hazbj